fb fb fb fb fb

Singapura sumbang AS$100,000 untuk usaha bantuan banjir di Nepal

Foto: AFP

SINGAPURA, 10 Oktober- Singapura akan menyumbang AS$100,000 sebagai bantuan kewangan awal untuk menyokong usaha pengumpulan dana oleh Palang Merah Singapura (SRC) sebagai respons kepada banjir besar di Nepal.

Kementerian Luar Singapura dalam satu kenyataan memaklumkan sumbangan itu akan menyokong usaha bantuan kemanusiaan dan memenuhi keperluan segera masyarakat terjejas di negara berkenaan.

SRC telah melancarkan kempen pengumpulan dana yang akan berlangsung sehingga 30 November untuk menyediakan bantuan kemanusiaan segera dan menyokong usaha pemulihan akibat bencana susulan hujan lebat yang berterusan pada akhir September.

Pertubuhan itu juga telah menjanjikan sumbangan awal sebanyak S$50,000 (S$1=RM3.28) untuk menyokong operasi bantuan berterusan yang diketuai oleh Persatuan Palang Merah Nepal (NRCS).

"Sukarelawan SRC sedang bersiap sedia untuk dihantar ke Nepal bagi membantu operasi pemulihan jika keadaan bertambah buruk," katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Menurut SRC, banjir itu telah meragut lebih 200 nyawa dengan ramai lagi cedera atau dilaporkan hilang.

Lebih 11,500 isi rumah di 16 daerah telah terjejas, dengan kebanyakannya terpaksa tinggal di kawasan terbuka akibat kerosakan teruk atau kemusnahan rumah mereka.

Banjir itu turut mencetuskan tanah runtuh dan jalan raya serta lebuh raya menuju ke Lembah Kathmandu ditutup, menyukarkan akses kepada perkhidmatan penting.- BERNAMA

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI