RAFAH, 25 Februari- Beberapa kediaman penduduk Palestin di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza, dilaporkan terbakar selepas terkena tembakan tentera Israel pada Isnin.
Menurut saksi, dron dan kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah tengah Rafah, menyebabkan beberapa rumah musnah dalam kebakaran.
Serangan tentera Israel turut dilaporkan di bahagian timur Gaza City, namun tiada kecederaan dilaporkan setakat ini.
Serangan baharu itu berlaku meskipun perjanjian gencatan senjata dan pertukaran tahanan telah dikuatkuasakan bulan lalu, yang menghentikan serangan ganas Israel yang mengorbankan lebih 48,300 nyawa dan memusnahkan Gaza.
Pihak berkuasa Palestin melaporkan lebih 350 pelanggaran perjanjian gencatan senjata oleh Israel sejak 19 Januari, termasuk pembunuhan 92 orang dan mencederakan 822 yang lain dalam serangan tentera Israel.
Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung serangannya di Gaza.-REUTERS