MOSCOW, 25 Februari- Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menggesa Eropah mempercepat pengeluaran senjata serta melabur dalam industri pertahanan di Ukraine, selain mendesak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump supaya mengadakan pertemuan susulan kritikan dari Washington, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Semua industri pertahanan dan ketenteraan di negara-negara Eropah mula meningkatkan pengeluaran susulan perang ini... Namun, ini masih belum mencukupi... Kita perlu melabur lebih banyak dalam pengeluaran di Ukraine... Kita memerlukan dana tambahan," kata Zelensky pada sidang media bersama pemimpin Eropah pada Isnin.
Dalam pertemuan dengan pemimpin G7, Zelensky turut menyeru Trump untuk mengadakan mesyuarat secepat mungkin.
"Kita perlu bertemu secepat mungkin untuk menentukan syarat keamanan dan jaminan keselamatan. Pasukan kami sudah bekerjasama secara produktif dengan AS mengenai perjanjian ekonomi yang kami harap dapat ditandatangani di Washington," katanya.
Sementara itu, pada Rabu, Trump mengkritik Zelensky kerana enggan mengadakan pilihan raya, menyifatkannya sebagai seorang "diktator" dan mendakwa pemimpin Ukraine itu mahu terus memperoleh "mengaut keuntungan dengan mudah" di tengah-tengah konflik berterusan dengan Rusia. - BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI