fb fb fb fb fb

Iran terus pertahankan rakyat, kepentingan negara

Menteri Luar Iraq Fuad Hussein (kanan) mengalu-alukan rakan sejawatnya dari Iran Abbas Araghchi di Baghdad/ AFP

BAGHDAD, 13 Oktober- Diplomat tertinggi Iran berjanji pada hari Ahad bahawa "tiada batasan" untuk negara itu dalam mempertahankan rakyat dan kepentingannya. Ia berikutan serangan balas yang akan dilakukan Israel terhadap negara itu.

"Walaupun kami telah melakukan usaha yang hebat dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk membendung perang habis-habisan di rantau kami.

"Saya nyatakan dengan jelas bahawa kami tidak meletakkan batasan dalam mempertahankan rakyat dan kepentingan kami," tulis Menteri Luar Iran Abbas Araghchi dalam satu hantaran di X.

Pada 1 Oktober lalu, Iran melepaskan 200 peluru berpandu ke atas Israel sebagai tindakan balas terhadap pembunuhan pemimpin kumpulan itu yang bersekutu dengan Tehran dan seorang jeneral dalam Pengawal Revolusi Iran.

Sementara itu Araghchi berada di Baghdad untuk membincangkan isu peperangan di Gaza dan Lubnan bersama-sama pegawai Iraq, menurut kementerian itu.

Penasihat politik kepada Perdana Menteri Iraq Ali al-Moussawi memberitahu AFP, lawatan Araghchi adalah sebahagian daripada usaha diplomatik "untuk genjatan senjata dan keganasan... serta mewujudkan keselamatan dan kestabilan di rantau ini".

Selepas Baghdad, Araghchi akan menuju ke Oman, lapor agensi berita Iran, ISNA.

Pada Khamis, Araghchi berada di Qatar untuk bertemu dengan Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani berhubung peperangan di Gaza dan Lubnan.

Qatar merupakan pengantara rundingan yang bertujuan untuk gencatan senjata Gaza yang juga menggesa gencatan senjata di Lubnan.

Sehari sebelumnya, Araghchi bertemu dengan pemerintah de facto Arab Saudi Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman dan rakan sejawatannya dari Saudi Putera Faisal bin Farhan.

Dalam temu bual baru-baru ini, Araghchi berkata Iran "tidak mahu perang" tetapi ia "tidak takut dengannya."

"Kami akan bersedia menghadapi apa jua keadaan," katanya kepada rangkaian berita Al Jazeera.- AFP

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI