TEHRAN, 25 Ogos - Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menegaskan, Amerika Syarikat (AS) menentang Iran kerana mahu negara itu menjadi "patuh".
Khamenei menyifatkan perkara itu sebagai suatu penghinaan.
Jelas beliau, situasi semasa dengan AS adalah "tidak dapat diselesaikan" dan rakyat Iran akan terus berdepan tekanan tersebut dengan segala kekuatan yang ada.
“Amerika mempunyai tanggapan salah bahawa Iran akan tunduk.
Namun, rakyat Iran tidak akan berdiam diri terhadap tuntutan yang menjatuhkan maruah,” katanya.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran pada Jumaat memaklumkan satu lagi pusingan rundingan nuklear dengan United Kingdom, Perancis dan Jerman akan diadakan Selasa ini.
Rundingan terdahulu berlangsung di Istanbul pada 25 Julai lalu, yang menyaksikan pertukaran pandangan mengenai pelaksanaan perjanjian nuklear Iran serta isu sekatan.
Negara Barat sebelum ini mengugut untuk mengaktifkan mekanisme sekatan "snapback", dengan mendesak Iran kembali mematuhi sepenuhnya perjanjian nuklear termasuk bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
Bagaimanapun, Tehran menolak ugutan tersebut dengan menegaskan mekanisme itu tidak mempunyai asas dari segi undang-undang mahupun politik. -REUTERS