fb fb fb fb fb

Vaksin chikungunya Ixchiq digantung di AS susulan kesan sampingan serius

Vaksin Ixchiq keluaran Valneva sebelum ini mendapat kelulusan di AS pada 2023 / Foto AFP

PARIS, 25 Ogos - Pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) menggantung lesen vaksin Ixchiq keluaran syarikat farmaseutikal Perancis, Valneva, selepas menerima laporan kesan sampingan serius.

Ixchiq merupakan salah satu daripada hanya dua vaksin diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS untuk mencegah virus chikungunya.

Valneva memperoleh kelulusan vaksin itu di AS pada 2023, namun beberapa laporan kesan buruk, terutama dalam kalangan warga emas, mendorong kajian semula oleh FDA dan Agensi Ubat-ubatan Eropah.

Menurut Valneva, penggantungan berkuat kuasa Jumaat lalu selepas empat kes tambahan dilaporkan, termasuk tiga pesakit berusia antara 70 hingga 82 tahun.

“Kami kekal komited menjadikan Ixchiq sebagai alat kesihatan global, terutama ketika ancaman chikungunya semakin meningkat di seluruh dunia,” kata Ketua Eksekutif Valneva, Thomas Lingelbach.

Syarikat itu berkata, pihaknya sedang menilai kesan kewangan penggantungan tersebut, namun tidak mengubah unjuran hasil tahun ini.

Ixchiq mencatat jualan 7.5 juta euro (AS$8.8 juta) pada separuh pertama 2025.

Berita penggantungan itu menyaksikan saham Valneva di Bursa Paris menjunam lebih 26 peratus pada sesi dagangan awal Isnin.

Chikungunya adalah penyakit bawaan nyamuk yang lazim dikesan di kawasan tropika dan subtropika.

Pakar kesihatan awam memberi amaran chikungunya berpotensi menjadi ancaman pandemik masa depan apabila perubahan iklim mendorong penyebaran nyamuk pembawanya ke wilayah baharu.

Virus ini mempunyai simptom mirip denggi dan Zika, termasuk demam panas serta sakit sendi teruk yang boleh melumpuhkan pesakit.

Walaupun jarang membawa maut, risiko kematian lebih tinggi bagi bayi dan warga emas.

Bulan lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran risiko wabak besar chikungunya, selepas mengesan tanda awal mirip penularan besar dua dekad lalu yang pernah menjejaskan hampir setengah juta orang di seluruh dunia. -AFP

FARIS IZZAT SHAHARUDIN