TEHRAN, 15 April- Tehran pada hari Isnin menyeru negara-negara Barat untuk menghargai kekangan yang dialaminya selepas ia menyerang Israel sebagai tindak balas kepada serangan maut ke atas konsulat Iran di Damsyik.
“Daripada membuat tuduhan terhadap Iran, negara-negara (Barat) harus menyalahkan diri mereka sendiri dan menjawab pendapat umum atas langkah-langkah yang telah mereka ambil terhadap jenayah perang yang dilakukan oleh Israel", kata jurucakap Kementerian Luar Negara Iran, Nasser Kanani dalam satu sidang media.
Nasser Kanani menambah negara-negara Barat "harus menghargai usaha Iran 'menahan diri' dalam beberapa bulan kebelakangan ini".
Kerajaan Barat telah mengecam tindak balas Iran menerusi serangan dron dan peluru berpandunya ke atas Israel.
Tehran menegaskan tindakan tersebut sebagai mempertahankan diri selepas konsulat Tehran di Damsyik yang diserang pada 1 April.
Serangan tersebut menyaksikan bangunan konsular lima tingkat kedutaan Iran di ibu negara Syria runtuh sepenuhnya dan tujuh Pengawal Revolusi terbunuh, dua daripadanya jeneral.
Iran berkata ia telah memaklumkan kepada Amerika Syarikat dan memberi amaran kepada negara jiran 72 jam sebelum serangan.
Kanani berkata tindakan Iran itu bertujuan untuk "menghalang pengulangan tindakan rejim Zionis serta mempertahankan kepentingan Iran."
Jelasnya, Iran tidak bermaksud untuk meningkatkan ketegangan di rantau itu dan berkata, serangannya ke atas Israel adalah "tindak balas yang sah".
"Tindakan Iran adalah benar-benar sah dan mengikut Piagam Pertubuhan Bangsa Bersatu" yang memberikan negara hak untuk mempertahankan diri, kata Kanani.
Beliau menambah Amerika Syarikat dan masyarakat antarabangsa pada umumnya harus menghargai tingkah laku bertanggungjawab yang diambil oleh Iran.
Perkembangan terbaru itu berlaku berlatarbelakangkan perang Gaza, yang teleh mengorbaknkan lebih 33,000 nyawa sejak Oktober lalu.
Tehran menyokong Hamas tetapi telah menafikan sebarang penglibatan secara langsung dalam serangan pada 7 Oktober.-AFP