TEHRAN, 8 Oktober- Sistem pertahanan udara di bandar Isfahan, Iran telah diaktifkan semalaman, menurut Pengawal Revolusi elit negara itu pada Selasa, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Beberapa letupan yang berlaku pada waktu malam telah mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan serangan oleh Israel.
Agensi berita Iran, Fars, memetik sumber dari Pengawal Revolusi yang menyatakan bahawa sistem pertahanan udara telah bertindak balas selepas mengesan "objek bercahaya."
Menurut laporan itu, ia bukan latihan yang dirancang dan tiada kontak dengan musuh berlaku.
Radio negeri menggambarkan insiden itu sebagai satu langkah pertahanan.
Hampir seminggu yang lalu, Pengawal Revolusi, pasukan elit tentera Iran melancarkan kira-kira 200 peluru berpandu ke arah Israel. Serangan itu berlaku selepas siri pembunuhan yang disasarkan oleh Israel terhadap tokoh penting dalam rangkaian sekutu Iran.
Israel sebelum ini telah mengumumkan hasratnya untuk bertindak balas.
Bandar Isfahan, yang terkenal dengan seni bina Parsi-Islam dianggap sebagai salah satu destinasi pelancongan paling popular di negara itu.
Bandar berkenaan juga merupakan lokasi kepada kemudahan industri pertahanan penting serta program nuklear negara ini.- BERNAMA