SEOUL, 13 Mac-Penyiasat tentera Korea Selatan telah mendakwa dua juruterbang Tentera Udara negara itu pada Khamis atas kecuaian selepas insiden pengeboman secara tidak sengaja di sebuah kampung minggu lalu semasa latihan ketenteraan.
Kejadian itu mencederakan sekurang-kurangnya 29 orang dan menyebabkan kerosakan harta benda.
Menurut Kementerian Pertahanan, kesilapan juruterbang ketika memasukkan koordinat ke dalam sistem pesawat adalah faktor utama yang menyebabkan pengeboman itu berlaku.
Dua juruterbang berkenaan didakwa atas kecuaian jenayah yang menyebabkan kecederaan, kata pihak berkuasa Criminal Investigation Command Kementerian Pertahanan.
Siasatan lanjut mengenai insiden itu masih diteruskan.
Insiden berlaku apabila lapan bom tanpa panduan dilancarkan dari dua jet pejuang dan mengenai sebuah kampung di Pocheon, berhampiran sempadan dengan Korea Utara, semasa latihan.
Pocheon dan kawasan sekitarnya telah lama menjadi lokasi latihan ketenteraan Korea Selatan dan Amerika Syarikat, dengan penduduk tempatan sering mengadu mengenai risiko keselamatan dan gangguan akibat aktiviti ketenteraan.
Sebagai langkah segera, kedua-dua juruterbang yang terlibat telah digantung daripada tugas penerbangan, dan semakan terhadap sijil misi penerbangan mereka telah dijadualkan.
Ketua Staf Tentera Udara Korea Selatan telah memohon maaf atas kejadian itu dan berjanji untuk mengkaji semula prosedur misi bagi mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.