TOKYO, 13 Mac-Jepun merancang untuk meningkatkan eksport berasnya menjelang tahun 2030, kata seorang pegawai kementerian negara berkenaan, meskipun negara itu kini menghadapi kekurangan bekalan beras dalam negeri.
Penggunaan beras di Jepun telah merosot lebih separuh dalam tempoh 60 tahun terakhir, apabila diet masyarakat semakin berkembang dengan lebih banyak roti, mi, dan sumber tenaga lain.
Sasaran baharu itu adalah sebahagian daripada dasar jangka panjang Jepun untuk meningkatkan penghantaran beras ke luar negara serta menjadikan pertaniannya lebih cekap, terutama dengan populasi yang semakin menua dan berkurangan.
"Kami merancang untuk menetapkan sasaran 350,000 tan pada tahun 2030," kata Masakazu Kawaguchi, pegawai kementerian pertanian yang bertanggungjawab dalam perdagangan beras, kepada AFP.
Sasaran ini dijangka diluluskan oleh kabinet bulan ini.
Jumlah tersebut adalah 7.8 kali lebih tinggi daripada jumlah eksport tahun 2024, iaitu sekitar 45,000 tan, yang dijual dengan nilai 12 bilion yen (AS$81 juta).
Namun, Jepun kini mengalami kekurangan beras.
Minggu ini, kerajaan telah memulakan lelongan luar biasa terhadap stok simpanan beras kecemasan bagi membantu menurunkan harga, yang hampir dua kali ganda dalam tempoh setahun terakhir.
Kekurangan itu berpunca daripada beberapa faktor, termasuk hasil tuaian yang rendah akibat cuaca panas serta pembelian panik yang dipicu oleh amaran "gempa bumi mega" pada musim panas lalu.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila sesetengah peniaga dipercayai menyimpan stok dan menunggu masa yang sesuai untuk menjualnya.-AFP.