fb fb fb fb fb

Dihalang bekerja sebumbung, pensyarah suami isteri saman universiti

Gambar hiasan: Pasangan terbabit turut dilaporkan sanggup bercerai demi mengekalkan pekerjaan mereka di fakulti undang-undang universiti tersebut

TOKYO, 13 Mac – Gara-gara bekerja sebumbung, sepasang suami isteri yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah universiti di Jepun berdepan tindakan, apabila hanya si suami dibenarkan mengekalkan jawatan akademik mereka selepas berkahwin.

Menurut Mahkamah Daerah Miyazaki, pasangan itu telah memfailkan saman terhadap universiti serta dekan terbabit pada bulan lalu. Ini sekali gus mencetuskan perdebatan mengenai ketidaksamaan gender dalam dunia akademik di Jepun.

Meskipun Jepun mempunyai ramai wanita berpendidikan tinggi, negara itu masih bergelut dengan jurang gender yang ketara. Menurut laporan Global Gender Gap (Jurang Jantina Global 2024), Jepun berada di kedudukan ke-118 daripada 146 negara oleh Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

Kisah pasangan itu bermula apabila si suami, merupakan seorang profesor undang-undang di Universiti Miyazaki Sangyo-keiei, memaklumkan kepada pihak universiti mengenai perkahwinan mereka pada Julai lalu.

Bagaimanapun, dekan berkenaan dilaporkan tidak bersetuju dan memaklumkan bahawa kontrak kerja isterinya akan ditamatkan pada akhir Mac. Jurucakap universiti berkata pasangan itu telah 'melanggar peraturan' tetapi enggan mengulas lanjut atas alasan privasi.

Menurut penyiar nasional NHK, universiti itu mempertahankan tindakan mereka dengan alasan terdapat peraturan tidak bertulis yang melarang pasangan suami isteri bekerja di institusi yang sama kerana bilangannya yang kecil.

Pasangan terbabit turut dilaporkan sanggup bercerai demi mengekalkan pekerjaan mereka di fakulti undang-undang universiti tersebut.

Lelaki berkenaan tetap diturunkan pangkat kepada profesor madya, manakala isterinya yang sebelum ini penolong profesor hanya diberikan tugas sebagai pegawai pentadbiran.

“Saya berasa seperti dipaksa memilih antara perkahwinan dan kerjaya,” luah wanita itu dalam satu wawancara televisyen tempatan.

Beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila universiti yang kononnya menyokong pengambilan pelajar wanita dan perkembangan kerjaya mereka, sebaliknya bertindak menamatkan perkhidmatan seorang pensyarah wanita tanpa alasan yang adil.

Pasangan itu kini berjuang untuk mendapatkan kembali jawatan asal mereka. - AFP

GRACE AISYAH KEDAYAN