CIRATA, 9 November- Indonesia merasmikan ladang solar terapung bernilai $100 juta, ladang terbesar di Asia Tenggara dalam usaha negara itu meneroka peluang baharu dalam sektor tenaga hijau atau tenaga boleh diperbaharui.
Ladang solar terapung Cirata dijangka mampu menjana tenaga elektrik yang mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada 50,000 isi rumah.
Ladang solar yang dibina di atas takungan seluas 200 hektar di Jawa Barat itu terletak kira-kira 130 kilometer dari ibu negara, Jakarta.
"Hari ini adalah hari bersejarah, kerana impian besar kami untuk membina loji tenaga boleh diperbaharui secara besar-besaran akhirnya tercapai."
"Kami berjaya membina ladang solar terapung terbesar di Asia Tenggara dan yang ketiga terbesar di dunia," kata Presiden Joko Widodo dalam ucapan sempena sambutan itu.
Projek itu adalah kerjasama antara syarikat elektrik nasional Indonesia, Perusahaan Listrik Negara dan syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Abu Dhabi iaitu Masdar, mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan dan menelan belanja kira-kira $100 juta.
Ladang solar, yang dibiayai oleh Sumitomo Mitsui Banking Corporation, Societe Generale dan Standard Chartered, terdiri daripada 340,000 panel.
Kerajaan Indonesia berkata ia akan cuba mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2060.- AFP