HOUSTON, 9 November- Lapan orang terbunuh dalam pelanggaran dua kereta di Texas, selatan Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, membabitkan penyeludup migran yang didakwa cuba mengelak daripada ditangkap pihak berkuasa.
Beberapa mangsa kemalangan merupakan pendatang dari Honduras.
Menurut polis, pemandu Honda putih melarikan diri daripada pegawai polis, selepas menyeludup lima pendatang tanpa izin kira-kira 100 kilometer dari sempadan Mexico.
Kegagalan pemandu mengelak dalam situasi kejar mengejar, mengakibatkan kereta merempuh kenderaan lain dan membunuh dua individu di dalam kenderaan terbabit.
Menurut jurucakap Jabatan Keselamatan Awam Texas, tujuh mangsa maut di tempat kejadian manakala yang kelapan meninggal dunia di hospital.
"Pihak berkuasa AS telah menyekat kira-kira enam juta pendatang di sempadan selatannya sejak Presiden Joe Biden memegang jawatan pada Januari 2021," kata Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS, Alejandro Mayorkas pada Rabu.
Beliau menambah bahawa sejak Mei, pihak berkuasa telah "mengeluarkan atau memulangkan" lebih 350,000 pendatang yang tidak memenuhi kriteria untuk tinggal di negara itu.
Parti Republikan menuduh kerajaan pimpinan Biden, sambil lewa berhubung aspek penyeludupan masuk migran sekali gus membuktikan dasar sempadan yang longgar.
Biden telah meminta Kongres untuk tambahan AS$13.6 bilion untuk mengukuhkan sempadan dengan Mexico dan mengupah ejen imigresen, peguam dan pegawai suaka.- AFP