fb fb fb fb fb

Ancaman Korea Utara, Blinken pertingkat rundingan dengan sekutu

Foto REUTERS

SEOUL, 9 November- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken mengadakan rundingan di Korea Selatan pada Khamis mengenai hubungan ketenteraan yang semakin meningkat antara Korea Utara dan Rusia, dalam masa sama meneruskan usaha penyelesaian jangka panjang terhadap perang Israel-Gaza.

Blinken tiba di Korea Selatan lewat Rabu selepas menghadiri mesyuarat menteri luar G7 di Tokyo.

Menteri-menteri G7 mengeluarkan kenyataan bersama yang menyeru supaya pertempuran antara Israel dan Hamas dihentikan bagi membolehkan bantuan kemanusiaan sampai kepada orang awam di Gaza, selepas sebulan pengeboman dan operasi darat oleh rejim Israel.

Lawatan dua hari ke Korea Selatan adalah yang pertama oleh setiausaha negara AS dalam tempoh dua setengah tahun dan sebahagian daripada perjalanan Asia yang lebih luas oleh Blinken, termasuk persinggahan kemudian di India dan persinggahan lebih awal di Timur Tengah.

Blinken dijangka bertemu Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol menjelang rundingan yang dijadualkan dengan Menteri Luar, Park Jin pada petang Khamis.

Mereka akan membincangkan tindak balas terhadap kerjasama Pyongyang dan Moscow, dengan Korea Utara disyaki membekalkan senjata kepada Rusia untuk digunakan menentang Ukraine.

Washington dan Seoul menjangkakan Pyongyang akan mendapatkan keupayaan ketenteraan strategik sebagai timbal balik, hasil pengukuhan kerjasama dengan Rusia.

Negara republik itu kini sedang bersedia untuk melancarkan satelit pengintip, selepas gagal dua kali tahun ini untuk meletakkannya di orbit.

Agensi perisik Korea Selatan berkata Korea Utara berada di peringkat akhir persiapan untuk pelancaran itu selepas menerima bantuan teknikal dari Rusia, minggu lalu.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM