TEBING BARAT, 9 November- Dua rakyat Palestin terbunuh dalam satu serbuan oleh rejim Israel di petempatan haram daerah Hebron dan Bethlehem di Tebing Barat, pada awal pagi waktu tempatan.
Di Hebron, koresponden WAFA menjelaskan bahawa tentera Israel menyerbu kampung Tabqa dan turut melepaskan peluru hidup dan bom gas pemedih mata ke arah rakyat Palestin.
Pemuda Anas Nasser Abu Atwan, 25 tahun yang dilapor menjadi mangsa serangan konfrontasi ganas itu, ditembak di dada oleh tentera rejim Israel.
Anas dibawa ke hospital namun doktor mengesahkan bahawa dia telah meninggal dunia.
Sementara itu di Bethlehem, sumber perubatan di Hospital Beit Jala berkata Mohammad Farid Hamdan Thawabta, 51, dari Beit Fajjar turut terkorban, ditembak oleh peluru tentera Israel semasa pencerobohannya terhadap Bethlehem, semalam.
Memetik sumber berita portal WAFA, 19 rakyat cedera akibat tembakan peluru hidup, seorang kritikal dan seorang lagi parah dan lima terkena serpihan, selain berpuluh-puluh lagi sesak nafas, semasa serbuan tentera Israel di bandar Bethlehem, setakat semalam.
Operasi itu juga mengepung rumah tahanan yang bebas, Hamdi Imad al-Kamel di kawasan al-Maslakh.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Türk mengulangi gesaan gencatan senjata segera di Semenanjung Gaza semasa lawatan ke persimpangan Rafah dengan Mesir dan Hospital El Arish di Mesir, hari ini.
Volker Türk menyifatkan sempadan Rafah dengan Mesir sebagai talian hayat bagi 2.3 juta penduduk Gaza sejak sebulan lalu, walaupun tidak adil.
"Gaza telah pun digambarkan sebagai penjara terbuka terbesar di dunia sebelum 7 Oktober, di bawah pendudukan 56 tahun dan sekatan 16 tahun oleh Israel," katanya.