fb fb fb fb fb

Indonesia hadapi trend peningkatan bencana - BNPB

Foto Fail/Reuters

JAKARTA, 28 Jun - Indonesia menyaksikan peningkatan trend bencana tahun ini, merekodkan 1,000 kejadian menjelang pertengahan tahun 2024 berbanding 5,400 insiden sepanjang tahun 2023, dengan purata 20 insiden sehari, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB).

Ketua BNPB, Leftenan Jeneral Suharyanto menegaskan bahawa bencana itu terutamanya letusan gunung berapi dipengaruhi oleh faktor seperti pertumbuhan penduduk, pengurusan alam sekitar dan perubahan iklim.

“Walaupun jumlah bencana meningkat setiap tahun, tahap risiko cenderung untuk menurun disebabkan oleh usaha bersepadu dalam mitigasi, kesiapsiagaan dan sistem amaran awal yang berkesan, yang difasilitasi melalui kerjasama antara komuniti dan pihak berkuasa,” katanya.

Kenyataannya itu susulan pemerhatian beliau terhadap penduduk dari Kampung Girikerto di Sleman, Yogyakarta, menjalankan latihan pemindahan diri pada Khamis untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan risiko dari letusan Gunung Merapi, menurut kenyataan BNPB pada Jumaat.

Suharyanto menyatakan peningkatan ketara dalam insiden bencana daripada letusan gunung berapi pada 2024, khususnya letusan Gunung Marapi di Sumatera Barat baru-baru ini yang berlaku kira-kira dua bulan lalu, menyebabkan 72 kematian dan kerosakan material yang signifikan.

Penilaian awal oleh BNPB mendedahkan bahawa Gunung Marapi kini hanya mempunyai dua daripada 56 empangan penyekat yang dirancang untuk disiapkan menjelang 2026 bagi mitigasi aliran lahar manakala Gunung Merapi telah mempunyai lebih daripada 200 empangan penyekat sebagai penghalang.

Mengenai Gunung Ruang di Sitaro, Sulawesi Utara, beliau menyatakan bahawa amaran awal dan pemindahan yang tertangguh boleh menyebabkan kematian, kerana kira-kira 830 penduduk masih tinggal berhampiran gunung itu, di mana dua kampung musnah sepenuhnya oleh letusan berkenaan.

Seterusnya, Gunung Ibu di Halmahera Barat, Maluku Utara, baru-baru ini meletus menyebabkan pihak berkuasa memulakan usaha tindak balas kecemasan walaupun ia diturunkan kepada tahap III atau “Waspada”, mengakibatkan 1,500 keluarga masih kehilangan tempat tinggal.

Di Nusa Tenggara Timur, Gunung Lewotobi Laki-Laki dan Gunung Ile Lewotolok sedang mengalami letusan dan dikategorikan sebagai “Waspada”.

Sementara itu, Suharyanto memuji komuniti di sekitar Gunung Merapi atas kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan, pemantauan dan persiapan yang patut dicontohi.

Beliau menekankan kepentingan mematuhi amaran, merujuk kepada letusan Gunung Semeru pada tahun 2021 yang mengorbankan 57 nyawa, dan banjir lahar pada 2023 yang menyebabkan kematian kerana mengabaikan amaran. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF