fb fb fb fb fb

Indonesia gesa UNGA tubuh suruhanjaya bebas siasat serangan Israel ke atas Gaza

Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi berucap di Perhimpunan Agung semasa Sesi Khas Darurat ke-10 pada mesyuarat pleno ke-39 di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 26 Oktober 2023 di Bandar Raya New York/FOTO AFP

JAKARTA, 27 Oktober - Indonesia menggesa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi menyiasat serangan Israel ke atas Gaza.

Agensi Berita ANTARA melaporkan, Menteri Hal Ehwal Luar Indonesia Retno Marsudi juga menggesa PBB untuk menuntut gencatan senjata segera bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban dalam serangan itu.

Retno berkata demikian ketika berucap pada sesi tergempar UNGA yang berlangsung di New York pada Khamis bagi membahaskan tindakan tidak sah Israel di Wilayah Palestin.

Selain itu, Marsudi turut menggesa UNGA dan agensi PBB menggandakan usaha menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza.

"Kita tidak boleh membiarkan rakyat Palestin tidak mempunyai pilihan lain selain menerima ketidakadilan sepanjang hayat mereka. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menghentikan ketidakadilan.

"Indonesia sudah bersedia dan akan memainkan peranannya. Indonesia akan terus berdiri bersama rakyat Palestin," katanya.

Menteri itu menekankan bahawa Indonesia kan menggandakan sumbangan kepada Agensi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dan menyeru masyarakat antarabangsa untuk menyokong agensi terbabit.

"Indonesia juga komited menghantar bantuan kemanusiaan," katanya.

Marsudi mengakhiri kenyataannya dengan menekankan kepentingan usaha untuk mengatasi punca konflik Israel-Palestin.

Beliau menyatakan bahawa keamanan tidak akan tercapai sekiranya akar konflik tidak diselesaikan.

Indonesia percaya bahawa proses damai untuk mencapai penyelesaian dua negara harus diteruskan, katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN