BANGKOK, 27 Oktober- 'Ikrar penyejukan' yang akan diumumkan pada Sidang Kemuncak Iklim (COP28) bulan depan, menyasarkan pengurangan 68% berkaitan penyejukan, menjelang tahun 2050.
Meski tidak jelas negara yang akan turut serta dalam ikrar itu, China dan India antara negara penting dalam menjayakan hasrat berkenaan.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kaedah penyejukan kini menyumbang lebih daripada 7% daripada pelepasan gas rumah hijau global, selain permintaan terhadap penggunaan penyaman udara (AC) semakin tinggi.
Penggunaan elektrik dalam mesin AC dan kipas, menyumbang kepada pelepasan dan kerana penyaman udara dan alat penyejukan secara amnya bergantung kepada hidrofluorokarbon.
Hidrofluorokarbon itu adalah bahan pencemar jangka pendek yang kuat, memberi kesan kepada pemanasan global yang lebih besar daripada karbon dioksida.
PBB berkata anggaran sebanyak 3.6 bilion peralatan penyejuk digunakan di seluruh dunia, tetapi angka itu dijangka meningkat, dengan permintaan tenaga global untuk penyejukan meningkat tiga kali ganda menjelang 2050.
"Tanpa campur tangan dasar, pelepasan langsung dan tidak langsung daripada penyaman udara dan alat penyejukan diunjur meningkat 90 peratus melebihi paras 2017 menjelang tahun 2050," laporan PBB memberi amaran pada 2020.
Ikrar tersebut mencadangkan penggunaan alatan penyejukan yang lebih cekap, kaedah penyejukan pasif di bangunan serta pengurangan hidrofluorokarbon yang paling tinggi, diperluas.
"Cadangan tindakan antarabangsa dalam melaksanakan penyejukan lestari, boleh menjimatkan pelepasan kira-kira 78 bilion tan karbon dioksida yang setara, ukuran pelepasan rumah hijaumenjelang 2050," kata ikrar itu.
Pertemuan wakil pemimpin global di Dubai, 30 November ini bakal membincangkan rundingan iklim semasa global selain turut memfokuskan aspek masa depan dalam sektor bahan api fosil dan penggunaan tenaga boleh diperbaharui.- AFP