JAKARTA, 3 Oktober- Kerajaan Indonesia menggesa polis mengenal pasti dan menghukum individu yang bertanggungjawab ke atas insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan hingga mengorbankan 125 nyawa dan mencederakan 323 yang lain.
Ketua Menteri Keselamatan, Mahfud MD berkata, satu jawatankuasa khas juga dibentuk bagi menyiasat kes terbabit.
"Kami meminta mereka mendedahkan siapa yang melakukan jenayah tersebut dan tindakan mesti diambil dan kami juga berharap Polis Negara akan menilai prosedur keselamatan mereka.
Pasukan petugas itu akan dipilih dalam tempoh 24 jam. Ia terdiri daripada pegawai kerajaan, penganalisis, wakil kementerian, pegawai pertubuhan bola sepak, ahli akademik dan media," katanya menerusi kenyataan.
Tambah beliau, pihak berkuasa akan mengumumkan hasil siasatan secepat mungkin, berkemungkinan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
(Pemain dan pegawai Kelab Bola Sepak Arema berkumpul dan berdoa
di tugu peringatan mangsa rempuhan di stadium Kanjuruhan / Foto AFP)
Presiden Indonesia, Joko Widodo mengumumkan siasatan dilakukan ke atas insiden itu.
Bagaimanapun, kumpulan hak asasi manusia, Amnesty International mahu penyiasatan bebas dilakukan.
Pada masa sama, pegawai terlibat perlu bertanggungjawab kerana menggunakan gas pemedih mata di kawasan stadium.
"Kami menyeru pihak berkuasa menjalankan siasatan pantas, teliti dan bebas terhadap penggunaan gas pemedih mata di stadium dan memastikan mereka yang didapati melakukan kesalahan dibicarakan di mahkamah terbuka.
Kehilangan nyawa ini tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan," katanya. -AFP