fb fb fb fb fb

India lancarkan ujian peluru berpandu balistik yang mampu sampai ke China

Mampu bawa peledak nuklear ke semua kawasan di China / Foto FIRSTPOST

NEW DELHI, 21 Ogos - India berjaya melancarkan ujian peluru berpandu balistik jarak pertengahan yang apabila beroperasi sepenuhnya dijangka mampu membawa kepala peledak nuklear ke semua kawasan di China.

Peluru berpandu Agni-5 telah berjaya dilancarkan di negeri Odisha di timur India, dengan pihak berkuasa pada Rabu menyatakan bahawa "semua parameter operasi dan teknikal telah berjaya".

Agni-5 merupakan salah satu daripada beberapa peluru berpandu balistik jarak pendek dan jarak sederhana yang dibangunkan warga tempatan bertujuan memperkukuh kedudukan pertahanan India terhadap Pakistan serta China.

India dan China, dua negara paling ramai penduduk di dunia, merupakan pesaing sengit yang berpengaruh di seluruh Asia Selatan dan hubungan antara mereka merosot teruk pada tahun 2020 selepas pertempuran maut di sempadan.

India juga merupakan sebahagian daripada pakatan keselamatan Quad bersama Amerika Syarikat, Australia dan Jepun yang dilihat sebagai langkah imbangan terhadap pengaruh China.

Pakistan, seteru ketat India turut memiliki senjata nuklear dan kedua-dua negara hampir terjerumus dalam peperangan pada bulan Mei selepas militan membunuh 26 orang di Kashmir yang ditadbir India, satu serangan yang dipersalahkan oleh New Delhi ke atas Islamabad. Namun begitu, Pakistan menafikan sebarang penglibatan.

Terperangkap dalam ketidaktentuan perdagangan global dan geopolitik yang dicetuskan oleh perang tarif Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, New Delhi dan Beijing telah mengambil langkah untuk memperbaiki hubungan.

Pada Oktober lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi, telah bertemu dengan pemimpin China, Xi Jinping, buat kali pertama dalam tempoh lima tahun di satu sidang kemuncak di Rusia.

Modi dijangka membuat lawatan pertamanya ke China sejak 2018 pada akhir bulan ini untuk menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) – sebuah blok keselamatan serantau.

Sementara itu, hubungan antara New Delhi dan Washington turut terjejas berikutan desakan Trump agar India menghentikan pembelian minyak dari Rusia, yang merupakan sumber pendapatan utama Moscow ketika melancarkan serangan ketenteraan di Ukraine.

Amerika Syarikat menyatakan bahawa ia akan menggandakan tarif import baharu ke atas India daripada 25 peratus kepada 50 peratus menjelang 27 Ogos sekiranya New Delhi tidak beralih kepada pembekal minyak mentah lain. - AFP

HASRON BIN HASSAN