fb fb fb fb fb

Arab Saudi lancar 'nusuk umrah' untuk permudah perjalanan jemaah

Platform baharu ini boleh diakses di https://umrah.nusuk.sa / Foto AFP

JEDDAH, 21 Ogos - Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada Rabu melancarkan perkhidmatan Nusuk Umrah, yang membolehkan jemaah dari luar negara memohon visa umrah secara langsung dan menempah perkhidmatan dalam talian tanpa perantara.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), platform ini bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkaya pengalaman jemaah.

Nusuk Umrah adalah pilihan baharu bagi jemaah antarabangsa, melengkapi saluran sedia ada seperti ejen bertauliah.

Perkhidmatan ini membolehkan pengguna menyesuaikan perjalanan mereka dengan memilih pakej bersepadu atau menempah perkhidmatan secara individu seperti visa, penginapan, pengangkutan dan lawatan.

Platform ini menampilkan antara muka mesra pengguna yang menyokong tujuh bahasa, berintegrasi dengan sistem kerajaan dan menawarkan pelbagai pilihan pembayaran untuk pengalaman digital yang lancar.

Platform baharu ini boleh diakses di: https://umrah.nusuk.sa/

Pelancaran perkhidmatan ini sebahagian usaha kementerian untuk mencapai matlamat Visi 2030 Arab Saudi, dengan menambah bilangan tetamu Muslim serta menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi dan mudah bagi mempertingkatkan perjalanan ibadah haji dan umrah. - BERNAMA

HASRON BIN HASSAN