fb fb fb fb fb

Ethel Caterham dari Britain wanita tertua di dunia berusia 116 tahun

Caterham dilahirkan pada 21 Ogos 1909, lima tahun sebelum Perang Dunia Pertama / Foto 12PUNTO

LONDON, 21 Ogos - Wanita tertua di dunia, Ethel Caterham dari Britain, mencecah usia 116 tahun pada hari Khamis, beberapa bulan selepas gelaran itu berpindah kepadanya berikutan kematian biarawati Brazil, Inah Canabarro Lucas.

Caterham dilahirkan pada 21 Ogos 1909 di kampung Shipton Bellinger di barat daya England, lima tahun sebelum bermulanya Perang Dunia Pertama.

Gelaran individu tertua dalam sejarah masih dipegang oleh wanita Perancis, Jeanne Calment, yang hidup sehingga usia 122 tahun dan 164 hari sebelum meninggal dunia pada tahun 1997, menurut Rekod Dunia Guinness.

Caterham dijadualkan menyambut ulang tahunnya bersama keluarga dan akan menjalani hari tersebut "mengikut keselesaan dirinya", menurut rumah jagaan tempat beliau menetap.

Beliau kini merupakan individu tertua di dunia menurut Kumpulan Penyelidikan Gerontologi (Gerontological Research Group) GRG yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan pangkalan data LongeviQuest, selepas kematian Canabarro pada usia 116 tahun pada bulan April.

"Ethel dan keluarganya sangat berterima kasih atas semua ucapan dan perhatian yang diberikan kepadanya sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-116 tahun ini," kenyataan rumah jagaannya di Surrey, selatan London, sambil menambah bahawa beliau tidak akan memberikan sebarang temu bual.

Nenek kepada cicit ini merupakan rakyat terakhir yang masih hidup semasa pemerintahan Raja Edward VII.

Beliau menyambut ulang tahun kelahiran ke-115 tahun lalu dengan sepucuk surat daripada Raja Charles yang mengucapkan tahniah atas pencapaian usia yang "benar-benar luar biasa".

Rahsianya untuk panjang umur?. "Tidak pernah bertengkar dengan sesiapa! Saya dengar, dan saya buat apa yang saya suka," katanya.

Beliau mempunyai tiga orang cucu dan lima cicit, dan telah pun kehilangan kedua-dua anak perempuannya serta suaminya, Norman, yang meninggal dunia pada tahun 1976.

Caterham hanya berhenti memandu apabila usianya hampir mencecah 100 tahun, dan masih bermain permainan bridge hingga ke usia tua.

Beliau turut berjaya mengatasi jangkitan Covid-19 pada usia 110 tahun pada tahun 2020, menurut akhbar Daily Telegraph.

Pada tahun yang sama, beliau memberitahu BBC bahawa sepanjang hidupnya, beliau telah "mengharungi segalanya dengan tenang, sama ada waktu senang mahupun susah".

John Tinniswood dari Britain pernah memegang gelaran lelaki tertua di dunia selama lapan bulan pada tahun 2024 sebelum meninggal dunia pada usia 112 tahun pada bulan November.

HASRON BIN HASSAN