fb fb fb fb fb

ASEAN perlu fokus keadilan sosial dan kesejahteraan komuniti

Edmund Bon Tai Soon

BANGI, 21 Ogos - Keadilan sosial dan kesejahteraan komuniti di rantau ASEAN perlu diberi penekanan dalam menghadapi cabaran serantau yang lebih besar.

Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon berpandangan aspek tersebut amat signifikan ke arah memacu pembangunan rantau yang lebih mampan.

Jelas beliau, isu melibatkan golongan rentan dan buruh migran juga perlu diberi perhatian dalam usaha memperkukuh komitmen ASEAN terhadap agenda hak asasi manusia yang berteraskan rakyat.

Menurutnya, hak untuk pembangunan meliputi pembangunan ekonomi, sosial, budaya dan politik.

"Jika hanya fokus kepada pembangunan ekonomi, kita terlepas aspek lain yang penting iaitu kesejahteraan, keadilan sosial dan hak asasi manusia," katanya pada sidang media selepas sesi Perundingan AICHR ke-3 mengenai Hak Asasi Manusia terhadap pembangunan bagi memperkukuh komuniti ASEAN di sini.

Ke arah itu ujar beliau, ASEAN perlu mencari strategi untuk memerangi perkara tersebut selain daripada menangani perubahan iklim.

Sesi Perundingan AICHR ke-3 ini menjadi platform penting kepada anggota ASEAN dan pihak berkepentingan untuk membentuk pendirian serantau mengenai isu cabaran hak asasi manusia yang semakin kompleks.

Sesi ini menghimpunkan badan perniagaan utama Asia yang menggaji ribuan pekerja migran untuk sama-sama mencari penyelesaian mengenai isu hak asasi manusia, alam sekitar dan perniagaan.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN