SYDNEY, 21 Ogos - Polis Australia meminta kerjasama orang ramai bagi mengenal pasti sindiket jenayah di sebalik cubaan menyeludup 350 kilogram methamphetamine yang ditemukan dalam sebuah kontena penghantaran yang tiba di Sydney, lapor Xinhua.
Pihak berkuasa pada Khamis memaklumkan kontena itu dipintas dan diperiksa pegawai Pasukan Sempadan Australia (ABF) sebaik tiba di Pelabuhan Botany, Sydney dari Timur Tengah pada April lalu.
Hasil pemeriksaan mendapati methamphetamine dianggarkan bernilai A$323 juta (US$207.5 juta) disembunyikan dalam 35 paip logam khas.
Dadah itu kemudiannya dirampas Polis Persekutuan Australia (AFP), manakala kontena berkenaan dibenarkan dihantar ke alamat tujuan di Kemps Creek, Sydney Barat, dan ia kekal sehingga kini.
AFP dan ABF dalam kenyataan bersama berkata siasatan awal mendapati butiran perniagaan sah telah digunakan bagi tujuan import itu sebagai helah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurut AFP, jumlah methamphetamine yang dirampas itu boleh menghasilkan 3.5 juta urus niaga di peringkat jalanan. - BERNAMA