BAITULMAQDIS, 21 Ogos - Tentera rejim Israel pada Khamis mengeluarkan amaran kepada petugas perubatan dan kumpulan petugas misi bantuan di utara Gaza supaya mula membuat perancangan pemindahan menjelang berlakunya serangan ketenteraan untuk menawan kawasan tersebut.
Israel minggu ini telah memaklumkan kepada pegawai perubatan dan organisasi bantuan antarabangsa di utara Semenanjung Gaza untuk bersedia bagi pemindahan penduduk ke selatan Semenanjung Gaza", menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak tentera.
Pengumuman ini dibuat selepas Kementerian Pertahanan meluluskan serangan untuk menawan bandar Gaza dan mengarahkan kira-kira 60,000 anggota simpanan, sekali gus menambah kebimbangan bahawa operasi ini akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang telah pun berada pada tahap bencana di Semenanjung Gaza.
Menurut kenyataan itu, pihak tentera telah memaklumkan kepada pihak berkaitan di Gaza supaya mula merancang pemindahan peralatan hospital ke bahagian selatan.
"Pegawai tentera menekankan kepada pegawai perubatan bahawa penyesuaian sedang dilakukan terhadap infrastruktur hospital di selatan Semenanjung Gaza bagi menerima pesakit dan mangsa yang tercedera, di samping peningkatan kemasukan peralatan perubatan yang diperlukan," menurut kenyataan itu. - AFP