fb fb fb fb fb

India bekerjasama dengan syarikat Perancis bangunkan enjin jet pejuang tempatan

Perdana Menteri India Narendra Modi dan Menteri Pertahanan Rajnath Singh semasa sambutan Hari Kemerdekaan negara di New Delhi pada 15 Ogos lalu/ AFP

NEW DELHI, 23 Ogos – India sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Perancis bagi membangunkan dan mengeluarkan enjin jet pejuang tempatan.

Menteri Pertahanan India, Rajnath Singh berkata projek itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memperkukuh keupayaan pertahanan dalam negara, termasuk pembangunan jet pejuang generasi kelima jenis 'Pesawat Tempur Sederhana Termaju' (AMCA) yang telah diluluskan model awalnya, pada Mei lalu.

“Kita sedang bergerak ke hadapan untuk menghasilkan enjin pesawat di dalam negara,” kata Rajnath Singh ketika berucap di New Delhi, yang disiarkan oleh media India.

“Kita sedang bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Perancis untuk memulakan pengeluaran enjin di India",katanya.

Walaupun beliau tidak menamakan syarikat berkenaan, media India secara meluas melaporkan bahawa syarikat itu ialah Safran, yang telah lama bergiat dalam sektor penerbangan dan pertahanan di India. Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi diterima setakat ini daripada Safran atau kerajaan Perancis.

India merupakan salah satu pengimport senjata terbesar di dunia, telah menjadikan pemodenan angkatan tenteranya sebagai keutamaan dan terus merangsang pengeluaran peralatan ketenteraan tempatan.

Sebagai negara paling ramai penduduk di dunia, India juga telah memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara-negara Barat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk menerusi pakatan Quad bersama Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

Pada April lalu, India menandatangani perjanjian bernilai berbilion dolar untuk membeli 26 jet pejuang Rafale daripada syarikat Dassault Aviation dari Perancis. Jet-jet ini akan menyertai 36 pesawat Rafale sedia ada, dan dijadualkan menggantikan jet MiG-29K buatan Rusia.

Rajnath Singh juga mengumumkan komitmen kerajaan untuk memperuntukkan sekurang-kurangnya AS$100 bilion bagi kontrak peralatan ketenteraan menjelang tahun 2033, sebagai usaha merangsang industri pertahanan tempatan.

India terus memandang serius ancaman keselamatan serantau, terutamanya dari Pakistan. Kedua-dua negara terlibat dalam konflik berdarah selama empat hari pada Mei lalu, yang disifatkan sebagai konflik terburuk sejak tahun 1999.-AFP

ROSLINA BINTI DIN