NEW JERSEY, 22 Ogos - Rakaman video menunjukkan sebatang jalan di Margate City, New Jersey, ditenggelami air banjir pada Khamis, akibat limpahan air susulan kesan Taufan Erin yang ketika itu sedang membadai di Lautan Atlantik, ratusan batu dari pesisir pantai.
Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) pada Jumaat, memaklumkan bahawa Taufan Erin kini telah bergerak lebih jauh ke laut dan statusnya telah diturunkan kepada siklon pasca tropika.
Bagaimanapun, pihak berkuasa memberi amaran bahawa keadaan laut di banyak lokasi sepanjang Pantai Timur Amerika Syarikat kekal berbahaya untuk aktiviti renang, terutamanya sepanjang hujung minggu ini.
Erin merupakan ribut kelima yang dinamakan dalam musim Atlantik 2025 dan merupakan ribut pertama yang mencapai status taufan, dengan kekuatan yang pernah meningkat ke tahap kategori 5 iaitu tahap paling kuat dalam klasifikasi taufan.
Taufan terakhir di Atlantik yang mencapai kekuatan seperti itu ialah Taufan Milton pada Oktober 2024.
Agensi berita Reuters telah mengesahkanlokasi rakaman video tersebut berdasarkan padanan reka bentuk dan kedudukan bangunan dengan imej satelit dan arkib fail lokasi berkenaan. Tarikh rakaman turut disahkan menerusi data fail asal dan laporan cuaca semasa.-REUTERS