NEW DELHI, 30 September- India dan Bhutan akan membina laluan kereta api rentas sempadan pertama yang menghubungkan kedua-dua negara dengan projek bernilai AS$454 juta (RM2.1 bilion).
Kerajaan India pada Isnin memaklumkan bahawa projek itu dijangka siap dalam tempoh empat tahun.
Setiausaha Luar India, Vikram Misri berkata India sebagai rakan dagang utama Bhutan, memainkan peranan penting dalam memodenkan infrastruktur dan ekonomi negara Himalaya berkenaan.
“Projek rel ini akan memberi manfaat besar kepada rakyat Bhutan,” kata Menteri Kereta Api India, Ashwini Vaishnaw.
Menurut beliau, sistem baharu itu akan mempercepatkan pergerakan barangan yang sebelum ini mengambil masa berhari-hari kepada hanya beberapa jam.
Laluan pertama sejauh 69 kilometer, dengan kos dianggarkan 34.56 bilion rupee (AS$390 juta), akan menghubungkan bandar Kokrajhar di timur laut India dengan Gelephu, sebuah pekan berhampiran sempadan India yang kini didiami kira-kira 10,000 orang.
Laluan kedua sepanjang 20 kilometer pula akan menghubungkan pusat perindustrian Bhutan di Samtse dengan Banarhat di timur India, pada kos dianggarkan 5.77 bilion rupee.
Bhutan yang kecil, berpenduduk kurang daripada 800,000 orang dan terletak di antara India dan China, terkenal dengan dasar mengutamakan “Indeks Kebahagiaan Negara” berbanding pertumbuhan ekonomi.
Namun, negara itu berhasrat membangunkan Gelephu sebagai zon ekonomi untuk menarik pelaburan asing dan pelancong, dengan projek kereta api ini menjadi pemangkin utama.
“Gelephu dijangka muncul sebagai hab ekonomi yang menghubungkan Bhutan dengan Asia Selatan dan Asia Tenggara,” kata Misri.
Vaishnaw menegaskan laluan kereta api baharu itu akan menggunakan tren elektrik dan direka supaya mesra alam. -AFP