fb fb fb fb fb

38 dikhuatiri terperangkap dalam runtuhan sekolah agama di Jawa, tiga maut

Foto AFP

JAKARTA, 30 September- Pasukan penyelamat Indonesia giat mencari sekurang-kurangnya 38 individu yang masih dipercayai terperangkap selepas sebuah bangunan sekolah agama Islam runtuh di Jawa pada Isnin, mengorbankan tiga orang.

Menurut pihak berkuasa, insiden berlaku ketika pelajar berkumpul untuk menunaikan solat Asar di bangunan bertingkat di bandar Sidoarjo, lapor media tempatan.

Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional, Mohammad Syafii berkata seramai 102 orang terlibat dalam kejadian itu, termasuk 99 yang terselamat dan tiga yang disahkan maut.

Beliau menegaskan operasi dijalankan dengan segera bagi menyelamatkan mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan.

Jurucakap Agensi Mitigasi Bencana (BNPB), Abdul Muhari turut mengesahkan angka 38 mangsa masih hilang.

Ketua sebuah hospital tempatan, Atok Irawan, memaklumkan dua daripada mangsa meninggal dunia akibat kecederaan ketika dirawat di unit kecemasan pada Selasa.

Kejadian itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan mengenai standard pembinaan di Indonesia.

Awal bulan ini, sekurang-kurangnya tiga orang maut dan puluhan cedera apabila sebuah bangunan yang menjadi lokasi majlis bacaan doa runtuh di Jawa Barat. -AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM