fb fb fb fb fb

Bekas Menteri Pertanian China dijatuhi hukuman mati kerana rasuah

Bekas Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China, Tang Renjian

BEIJING, 30 September- Bekas Menteri Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar China, Tang Renjian dijatuhi hukuman mati dengan penangguhan selama dua tahun oleh Mahkamah Pertengahan Changchun, wilayah Jilin, pada Ahad selepas didapati bersalah menerima rasuah.

Menurut laporan CCTV, Tang didakwa menerima suapan dalam bentuk wang tunai dan harta bernilai lebih 268 juta yuan (RM164 juta) ketika memegang pelbagai jawatan antara 2007 hingga 2024.

Mahkamah memaklumkan hukuman itu ditangguhkan selepas Tang mengaku bersalah atas perbuatannya.

Parti Komunis China sebelum ini telah memecat Tang pada November 2024, enam bulan selepas beliau disiasat oleh badan pengawas antirasuah dan digugurkan daripada jawatan.

Siasatan terhadap Tang dijalankan dengan sangat cepat, menyusuli kes melibatkan Menteri Pertahanan Li Shangfu dan pendahulunya, Wei Fenghe.

Presiden Xi Jinping sejak 2020 melancarkan kempen pembersihan besar-besaran ke atas badan keselamatan domestik termasuk polis, pendakwa raya dan badan kehakiman, dengan menegaskan mereka perlu “benar-benar setia, benar-benar suci dan benar-benar boleh dipercayai.”

Januari lalu, Xi turut mengingatkan bahawa gejala rasuah kekal sebagai ancaman terbesar terhadap Parti Komunis China dan masih menunjukkan peningkatan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM