HANOI, 30 September - Angka korban akibat Taufan Bualoi di Vietnam meningkat kepada 19 orang dengan 21 lagi masih hilang, menjadikannya ribut paling dahsyat melanda negara itu tahun ini. Hujan lebat akibat taufan turut menyebabkan banjir teruk di Hanoi dan beberapa wilayah utara.
Taufan Bualoi melanda kawasan utara tengah Vietnam pada Isnin dengan membawa ombak besar, angin kencang dan hujan berterusan. Minggu lalu, ribut sama telah meragut sekurang-kurangnya 10 nyawa di Filipina.
Setakat ini, seramai 88 orang dilaporkan cedera, lebih 100,000 rumah rosak kebanyakannya di wilayah Nghe An dan Ha Tinh manakala lebih 10,000 hektar sawah padi dan tanaman ditenggelami air.
Agensi cuaca kebangsaan Vietnam memaklumkan, taburan hujan di beberapa kawasan telah melebihi 300 milimeter dalam tempoh 24 jam lalu, dengan amaran risiko tanah runtuh serta banjir kilat.
Di ibu kota Hanoi, hujan berterusan beserta guruh dan kilat mengakibatkan banyak jalan utama ditenggelami air sehingga melumpuhkan lalu lintas.
Media tempatan melaporkan beberapa kampung di utara tengah Vietnam masih terputus hubungan jalan raya dan bekalan elektrik. Rakaman televisyen negara VTV menunjukkan paras banjir di Nghe An hampir mencecah bumbung rumah.
“Ini rumah saya, bumbungnya diterbangkan angin taufan dan kini air banjir sudah setinggi setengah meter,” kata Ngo Thi Loan, 56 tahun, penduduk Nghe An.
“Semua harta benda saya rosak, semuanya musnah,” tambahnya.
Garis pantai Vietnam yang panjang menghadap Laut China Selatan menjadikan negara itu terdedah kepada taufan serta hujan lebat yang membawa banjir besar.