NEW DELHI, 21 April- Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan, semalam berikrar untuk tetap menyampaikan ucapan pada perhimpunan awam di bandar timur Lahore pada hari ini meskipun berdepan ancaman keselamatan.
"Apa pun yang berlaku, saya tetap akan memberi ucapan," kata Imran dalam siaran secara langsung.
Imran berkata hidup dan mati hanya ditentukan Allah dan seseorang hanya boleh mengambil langkah berjaga-jaga yang munasabah.
"Jika saya mengurung diri di dalam bilik, memikirkan saya akan selamat sepanjang hayat saya, ia juga bukan caranya," katanya semasa interaksi melalui Twitter Spaces dan pada satu ketika merekodkan 165,000 pendengar.
Imran berkata, Lahore bakal menyaksikan jumlah kehadiran yang tidak pernah terjadi dalam sejarah Pakistan.
Lahore merupakan perhimpunan awam ketiga terbesar dianjurkan parti Tehreek-e-Insaf (PTI) Pakistan pimpinan Imran sejak kerajaannya digulingkan dalam usul undi tidak percaya di Parlimen awal bulan ini.
(Bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan)
Dua perhimpunan di Peshawar dan Karachi menarik kehadiran ramai penyokong PTI.
Kerajaan tempatan Lahore semalam mencadangkan agar Imran tidak membuat penampilan fizikal di perhimpunan itu, sebaliknya hanya menyampaikan ucapan secara maya "berdasarkan maklumat mengenai ancaman hebat terhadapnya yang diterima oleh agensi keselamatan serta penilaian risikan terkini di peringkat daerah dan wilayah."