fb fb fb fb fb

IMF setuju pinjaman lanjutan AS$20 bilion kepada Argentina

Foto Reuters

BUENOS AIRES, 9 April- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa mengumumkan persetujuan awal peringkat kakitangan bagi kemudahan pinjaman lanjutan selama 48 bulan berjumlah AS$20 bilion kepada Argentina.

IMF menyatakan bahawa perjanjian itu, yang masih menunggu kelulusan Lembaga Eksekutifnya, diyakini berasaskan “kemajuan awal yang mengagumkan” oleh kerajaan Argentina dalam menstabilkan ekonomi.

Selain itu, disokong oleh dasar fiskal yang kukuh sehingga berjaya menurunkan kadar inflasi dengan cepat dan memulihkan aktiviti ekonomi serta penunjuk sosial.

Argentina amat memerlukan perjanjian berkenaan untuk membuka sekatan kawalan modal yang menyekat pelaburan, mengukuhkan semula rizab mata wang asingnya yang semakin susut dan melepasi tekanan inflasi yang berpanjangan.

"Sebaik sahaja lembaga membincangkan program ini, jumlah pembayaran pertama akan diketahui," menurut sumber IMF.

Lembaga Eksekutif IMF dijangka mempertimbangkan perjanjian ini dalam beberapa hari akan datang.

Presiden libertarian Argentina, Javier Milei, mengucapkan tahniah kepada Menteri Ekonomi, Luis Caputo melalui platform X sejurus selepas perjanjian itu diumumkan.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM