LONDON, 9 April- Perdana Menteri Britain, Keir Starmer mengumumkan pelaburan mega oleh syarikat gergasi Amerika Syarikat (AS), Comcast, untuk membina taman tema Universal pertama di Eropah di Bedford, United Kingdom.
Projek tersebut dijangka mewujudkan puluhan ribu pekerjaan dan menarik jutaan pelawat.
“Kami telah memeterai perjanjian pelaburan bernilai berbilion paun yang akan menyaksikan Bedford menjadi lokasi salah satu taman hiburan terbesar di Eropah,” kata Starmer dalam satu kenyataan, merujuk kepada sebuah pekan yang terletak di utara London.
Walaupun jumlah rasmi pelaburan tidak diumumkan, pejabat perdana menteri menyatakan projek itu boleh menyumbang kira-kira £50 bilion (AS$64 bilion) kepada ekonomi UK menjelang 2055.
Universal ketika ini memiliki lima taman tema di seluruh dunia bermula di Hollywood pada 1964, diikuti Orlando di Amerika Syarikat dan tiga lagi di Asia: Beijing, Osaka dan Singapura.
Taman hiburan baharu di Britain dijangka menampilkan tarikan bertemakan watak-watak filem popular seperti Shrek, Minions, dinosaur Jurassic Park serta dunia ajaib Harry Potter yang amat digemari ramai.
Menurut kenyataan rasmi, projek itu dijangka menjana 28,000 pekerjaan termasuk 20,000 semasa pembinaan dan dijangka menerima kira-kira 8.5 juta pelawat pada tahun pertama operasinya yang disasarkan pada 2031.
Lebih 80 peratus tenaga kerja akan direkrut dari kawasan tempatan.
“Kami sangat teruja untuk mengambil langkah penting ini dalam merancang dan membina taman tema Universal serta resort yang luar biasa di tengah-tengah United Kingdom,” kata Presiden Comcast, Mike Cavanagh.
Pada tahun 2023, Comcast telah membeli tapak seluas 200 hektar yang dahulunya merupakan kawasan pengeluaran batu-bata di selatan Bedford, kira-kira 80 kilometer dari London.
Universal turut merancang bekerjasama dengan kolej dan universiti tempatan bagi melatih generasi baharu pekerja dalam bidang hospitaliti melalui program perantisan dan latihan industri.- AFP