KIEV, 1 Oktober - Sekurang-kurangnya enam individu cedera dalam serangan bom berpandu Rusia di bandar Kharkiv, timur laut Ukraine, lewat malam tadi.
Menurut pegawai wilayah pada Rabu, serangan itu sekali gus mencetuskan beberapa kebakaran di kawasan sasaran.
Gabenor wilayah Kharkiv, Oleh Synehubov, menerusi aplikasi Telegram memaklumkan, lima daripada mangsa cedera masing-masing merupakan orang dewasa telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Datuk Bandar Kharkiv, Ihor Terekhov berkata, serangan itu turut menyebabkan kebakaran di sebuah pasar dan beberapa bangunan kediaman di bandar berkenaan.
Foto serta rakaman video menunjukkan anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran ketika api yang marak memusnahkan deretan gerai pasar serta beberapa struktur lain.
Wilayah Kharkiv, yang terletak berhampiran sempadan Rusia, menjadi sasaran serangan udara Rusia sejak tercetusnya perang antara kedua-dua negara.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan Moscow berhubung serangan berkenaan.- REUTERS