NEW YORK, 1 Oktober - Harga emas melonjak ke paras tertinggi baharu manakala niaga hadapan Wall Street merosot, susulan penutupan kerajaan Amerika Syarikat (AS) selepas Kongres gagal mencapai kata sepakat berhubung pembiayaan persekutuan.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan penerbitan data ekonomi penting akan ditangguhkan, sekali gus menyukarkan Rizab Persekutuan (Fed) membuat keputusan mengenai kadar faedah.
Demokrat dan Republikan terus berbalas tuduhan selepas gagal mencapai kata sepakat sebelum berakhirnya tahun fiskal. Presiden Donald Trump turut memberi amaran penutupan kerajaan “hampir pasti berlaku” dan mengancam melaksanakan pemotongan besar pekerjaan sektor awam.
Penutupan itu menyebabkan ratusan ribu penjawat awam terpaksa bercuti tanpa gaji buat sementara waktu dan ada kemungkinan pembayaran bantuan sosial kepada rakyat turut terganggu.
Pelabur turut bimbang laporan pekerjaan bukan ladang (non-farm payrolls) yang dijadualkan Jumaat ini mungkin tidak diterbitkan. Penganalisis SPI Asset Management, Stephen Innes berkata tanpa data itu, Fed terpaksa bergantung pada petunjuk kecil yang boleh meningkatkan ketidaktentuan pasaran.
Emas sebagai aset selamat melonjak ke paras rekod AS$3,875.53 berikutan kebimbangan terhadap penutupan kerajaan, kejatuhan dolar AS dan jangkaan kadar pinjaman lebih rendah.
Niaga hadapan tiga indeks utama New York jatuh, manakala bursa Asia kebanyakannya positif kecuali Tokyo dan Sydney. Hong Kong dan Shanghai pula ditutup sempena cuti umum.
Sementara itu, saham gergasi perlombongan Australia, BHP susut hampir 1.8 peratus selepas pembeli bijih besi milik kerajaan China dilapor mengarahkan kilang keluli menangguhkan pembelian yang perlu dibayar dalam dolar Amerika. Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan tindakan itu sebagai mengecewakan.-AFP