JAKARTA, 9 April- Presiden Indonesia, Prabowo Subianto menyatakan kesediaan negaranya untuk menempatkan sementara rakyat Palestin yang menjadi mangsa perang di Gaza.
Usaha itu melibatkan jumlah anggaran seramai 1,000 orang bagi kumpulan pertama.
Prabowo berkata beliau telah mengarahkan Menteri Luar Negeri untuk segera berunding dengan pihak Palestin dan pihak berkaitan bagi melaksanakan proses pemindahan rakyat yang terkesan ke Indonesia, negara majoriti Muslim.
“Kita bersedia mengevakuasi mereka yang cedera, trauma, anak-anak yatim,” kata Prabowo, sambil menambah bahawa mereka akan berada di Indonesia secara sementara sehingga pulih sepenuhnya dan keadaan di Gaza selamat untuk kepulangan mereka.
Jakarta sebelum ini lantang menyuarakan sokongan terhadap penyelesaian dua negara dan telah menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Prabowo menyatakan bahawa Indonesia mahu memainkan peranan lebih besar dalam usaha mencari penyelesaian terhadap konflik tersebut, meskipun ia bukan sesuatu yang mudah.
“Komitmen Indonesia dalam menyokong keselamatan dan kemerdekaan rakyat Palestin telah mendorong kerajaan kami bertindak lebih aktif,” katanya menjelang lawatan luar negara ke Turki, Mesir dan Qatar.
Kenyataan itu hadir dua bulan selepas Kementerian Luar Negeri Indonesia menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin secara paksa, susulan cadangan Presiden AS, Donald Trump, untuk memindahkan rakyat Palestin keluar dari Gaza secara kekal.
Tahun lalu, sebelum rasmi menjadi presiden, Prabowo turut menyatakan kesediaan Indonesia menghantar pasukan pengaman ke Gaza sekiranya diperlukan.- REUTERS