fb fb fb fb fb

IMF luluskan pakej pinjaman bernilai $4.7 bilion kepada Bangladesh

(FOTO AFP)

DHAKA, 31 Januari-Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memeterai perjanjian pakej pinjaman bernilai $4.7 bilion kepada Bangladesh bagi membantu negara itu mengatasi kos tenaga dan makanan yang telah menimbulkan protes besar-besaran rakyat.

Bangladesh seperti negara-negara Asia Selatan yang lain bergantung kepada import bahan api terjejas teruk akibat kenaikan kos sara hidup berikutan serangan Rusia ke atas Ukraine.

Gangguan bekalan elektrik selama 13 jam sehari di seluruh Bangladesh dan tindakan kerajaan negara itu yang terpaksa melanjutkan bantuan makanan buat rakyat yang tidak mampu membeli beras dan makan ruji yang lain menambah tekanan kepada kerajaan bagi memulihkan keadaan yang semakin buruk.

Pakej pinjaman IMF yang tersedia buat Bangladesh menuntut komitmen buat kerajaan negara berkenaan bagi menaikkan cukai serta mengurangkan cukai lapuk dalam sektor perbankan.

Menurut Timbalan Pengarah Pengurusan IMF, Antoinette Sayeh dalam satu kenyataan berkata kerajaan Bangladesh perlu mereformasi agenda bagi mencapai pertumbuhan seimbang dalam pengurusan makroekonomi negara berkenaan.

"Terdapat pelbagai kejutan dan cabaran dalam menguruskan ekonomi Bangladesh", ujarnya.

"Kerajaan Bangladesh perlu mempercepatkan agenda pembaharuan untuk mencapai pertumbuhan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan," ujar Antoinette lagi.

Bangladesh merancang menggunakan pinjaman IMF untuk menyokong rizab pertukaran asingnya, yang telah merosot daripada $46 bilion kepada $34 bilion.

Mata wang Bangladesh telah menyusut sekitar 25 peratus berbanding dolar sejak Mei lalu, memacu kos bagi pengedar petrol dan utiliti kuasa yang memberi kesan kepada sektor ekonomi keseluruhannya.

Kadar inflasi rasmi Bangladesh adalah pada sekitar 8.7 peratus tetapi pakar ekonomi bebas berkata angka sebenar adalah jauh lebih tinggi.

Pihak Pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh menyalahkan kerajaan atas krisis itu, dan menuduh membazirkan wang tunai untuk projek sia-sia bernilai berbilion dolar.

Parti itu telah menganjurkan beberapa siri perhimpunan menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri Sheikh Hasina dan pilihan raya umum.

Bangladesh merupakan salah sebuah negara di Asia Selatan yang memohon bantuan antarabangsa bagi menstabilkan kejutan ekonomi yang dihadapi negara berkenaan sepanjang tahun lalu.-AFP

(FOTO AFP)

Media Baharu