BANGKOK, 22 November- Pihak berkuasa Thailand sudah menangkap lebih 150 ekor iguana spesies asing di kawasan luar bandar kerana menceroboh dan memusnahkan ladang milik penduduk selain mengancam flora serta fauna asli negara itu.
Reptilia yang berasal dari Amerika Tengah dan Selatan itu semakin popular sebagai haiwan peliharaan di Thailand.
Namun, ramai yang melepaskannya bebas apabila menjadi terlalu besar atau bertindak agresif terhadap pemiliknya.
Kebimbangan reptilia itu akan menyebabkan punca ekosistem tidak seimbang telah dibangkitkan sejak reptilia jenis 'lacertilians herbivor', yang dianggap sebagai haiwan peliharaan itu, banyak melarikan diri atau sengaja dilepaskan.
Jabatan Pemuliharaan Taman Negara, Hidupan Liar dan Tumbuhan (DNP) berkata, 134 iguana ditangkap di daerah Pattana Nikom, Lopburi, sekitar 160 kilometer (km) di utara Bangkok.
Dalam pada itu, enam lagi ditemui di Udon Thani iaitu di timur laut negara itu, dan 23 lagi di tempat lain di Thailand.
"Banyak iguana sudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di wilayah Lopburi dan memusnahkan hasil pertanian.
"Jumlah yang semakin meningkat telah menjejaskan alam sekitar dan sistem ekologi, menyebabkan masalah kepada penduduk tempatan," kata DNP dalam satu kenyataan.
Tangkapan spesis reptilia berdarah sejuk itu, yang boleh membesar sehingga lebih 1.5 meter panjang, akan disimpan di pusat hidupan liar termasuk satu di Nakhon Nayok, timur laut Bangkok.
Jabatan itu juga berkata, kira-kira 260 orang di 61 wilayah telah memaklumkan kepada pegawai bahawa mereka memiliki iguana, menjadikan jumlah keseluruhan mungkin melebihi 3,600 ekor.
Awal minggu ini, pegawai mengharamkan import makhluk bersisik itu atas kebimbangan ancaman terhadap alam sekitar.
Pihak berkuasa berkata pesalah akan berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga satu juta baht (RM1.15 juta). - AFP