THE HAGUE, 24 Oktober – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menolak dakwaan bahawa badan perundangan berkenaan tidak mempunyai kuasa untuk mengadili bekas Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, yang berdepan tuduhan jenayah kemanusiaan berkaitan “perang menentang dadah” ketika pemerintahannya.
Peguam bela Duterte sebelum ini berhujah bahawa Filipina telah menarik diri daripada ICC.
Tindakan itu sekali gus membatalkan kuasa mahkamah itu terhadap bekas presiden berusia 80 tahun itu.
Namun dalam kenyataan rasmi pada Jumaat, ICC menegaskan bahawa ia mempunyai bidang kuasa penuh terhadap kes berkenaan.
“Mahkamah mendapati ia boleh melaksanakan bidang kuasa dalam kes ini bagi jenayah yang didakwa dilakukan oleh Duterte di wilayah Filipina ketika negara itu masih menjadi pihak kepada Statut Rom,” kata ICC.
Duterte berdepan tiga tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan kerana terlibat dalam pembunuhan susulan kempen “perang menentang dadah” yang didakwa meragut ribuan nyawa.
Beliau ditangkap di Manila pada Mac lalu, kemudian dipindahkan ke Belanda dan kini ditahan di pusat tahanan ICC di The Hague.
Peguamnya, Nicholas Kaufman, sebelum ini memberitahu AFP bahawa ICC tidak mempunyai kuasa untuk mendakwa kerana penarikan rasmi Filipina daripada mahkamah itu pada 17 Mac 2019 berkuat kuasa sebelum siasatan dimulakan.
Namun ICC menegaskan bahawa jenayah yang dikaitkan dengan Duterte berlaku semasa Filipina masih menjadi negara anggota Statut Rom, perjanjian yang menubuhkan mahkamah tersebut.
Menurut pendakwa ICC, Duterte didakwa terlibat dalam sekurang-kurangnya 76 pembunuhan berkaitan “perang menentang dadah.”- AFP