fb fb fb fb fb

Bantuan ke Gaza masih jauh daripada sasaran - PBB

FOTO AFP

GAZA, 24 Oktober - Krisis kemanusiaan di Gaza terus meruncing meskipun gencatan senjata telah dikuatkuasakan, apabila jumlah bantuan yang masuk ke wilayah bergolak itu masih jauh daripada mencukupi.

Data Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan kurang daripada 100 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari sejak gencatan senjata dimeterai awal bulan ini.

Angka tersebut jauh lebih rendah daripada 600 trak sehari yang dijanjikan di bawah pelan diketuai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata keadaan di Gaza kekal kritikal kerana bantuan yang dibenarkan masuk “tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas.”

“Tiada perubahan ketara dalam masalah kebuluran kerana makanan yang dihantar masih tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada Rabu menegaskan Israel bertanggungjawab memudahkan kemasukan bantuan ke wilayah yang dilanda kebuluran itu, termasuk memastikan penduduk Palestin menerima keperluan asas untuk terus hidup.

Menurut data PBB, lebih 93 peratus bantuan yang memasuki Gaza adalah makanan, manakala 1.7 peratus lagi merupakan bekalan khas seperti suplemen berkalori tinggi untuk kanak-kanak kekurangan zat dan wanita hamil.

PBB sebelum ini mengisytiharkan krisis kebuluran di Gaza pada 22 Ogos, yang pertama di Asia Barat, selepas pakar memberi amaran bahawa 500,000 penduduk berdepan “bencana kemanusiaan.”

Sejak pengisytiharan itu, hampir 1,000 tan bekalan pemakanan telah dihantar ke wilayah berkenaan.

Program Makanan Sedunia (WFP) yang mengendalikan hampir 70 peratus trak bantuan di bawah mekanisme PBB, memaklumkan telah menghantar makanan mencukupi untuk setengah juta orang selama dua minggu sejak gencatan senjata bermula.

Namun, jumlah makanan yang tiba di Gaza hanya sekitar 850 tan sehari, masih jauh daripada sasaran 2,000 tan sehari yang diperlukan bagi menampung keperluan penduduk.

Selain makanan, bantuan lain yang dihantar termasuk air dan sanitasi, bahan api pepejal untuk memasak, barangan perlindungan serta bekalan kesihatan.

Menurut Pejabat Projek PBB (UNOPS), purata 164,000 liter bahan api dibenarkan masuk ke Gaza setiap hari sejak gencatan senjata.

Jumlah itu meningkat berbanding 68,000 liter sehari sebelum itu. Namun, PBB menjangkakan sekurang-kurangnya 270,000 liter sehari diperlukan bagi memastikan pelan bantuan pasca gencatan senjata dapat dijalankan dengan berkesan.

Sejak pemantauan bermula pada Mei, data Mekanisme PBB 2720 menunjukkan sebahagian bantuan tidak sampai ke destinasi asal, dengan laporan menyebut ia diambil oleh penduduk yang kelaparan atau dirampas kumpulan bersenjata semasa penghantaran. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD