fb fb fb fb fb

Sekatan terbaharu AS tidak jejas ekonomi Rusia - Putin

FOTO AFP

MOSCOW, 24 Oktober – Presiden Rusia, Vladimir Putin, menyifatkan sekatan terbaharu Amerika Syarikat (AS) terhadap dua syarikat minyak utama negaranya sebagai langkah yang “serius”, namun menegaskan ia tidak cukup kuat untuk menjejaskan ekonomi Rusia.

AS pada Rabu mengenakan sekatan terhadap dua pengeluar minyak terbesar Rusia – Rosneft dan Lukoil – yang merupakan tindakan pertama terhadap Moscow sejak Presiden Donald Trump kembali ke White House.

“Sekatan ini sememangnya serius bagi kami, itu jelas. Ia akan membawa kesan tertentu, tetapi tidak akan memberi impak besar terhadap kesejahteraan ekonomi kami,” kata Putin kepada wartawan.

Beliau turut menyifatkan langkah itu sebagai satu “tindakan tidak bersahabat” yang “tidak membantu memperkukuh hubungan Rusia-AS, yang baru sahaja mulai pulih.”

Trump sebelum ini berusaha memperbaiki hubungan dengan Rusia pada awal penggal pemerintahannya, namun dilaporkan semakin kecewa dengan keengganan Putin untuk bersetuju dengan gencatan senjata di Ukraine, sambil mengakui rundingan damainya “tidak ke mana-mana”.

Presiden dari Parti Republikan itu sebelum ini menangguhkan pelaksanaan sekatan baharu selama beberapa bulan, tetapi akhirnya hilang sabar selepas rancangan mengadakan sidang kemuncak baharu dengan Putin di Budapest dibatalkan.

Meskipun sekatan tersebut telah diumumkan dan sidang kemuncak ditangguhkan, Putin masih menunjukkan kesediaan untuk meneruskan rundingan diplomatik.

“Dialog sentiasa lebih baik daripada konfrontasi atau sebarang pertikaian, apatah lagi peperangan. Kami sentiasa menyokong kesinambungan dialog,” katanya.

Namun, beliau memberi amaran keras sekiranya Rusia diserang menggunakan peluru berpandu Tomahawk AS, seperti yang diharapkan oleh Ukraine.

“Tindak balas Moscow akan menjadi amat dahsyat, jika tidak menghancurkan sama sekali,” tegas Putin.— AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD