fb fb fb fb fb

Pakistan haramkan semula parti Islam radikal TLP

FOTO AFP

ISLAMABAD, 24 Oktober – Kerajaan Pakistan pada Khamis mengumumkan pengharaman parti Islam radikal Tehreek-e-Labbaik Pakistan (TLP) buat kali kedua dalam tempoh empat tahun.

Pengharaman berkenaan susulan protes ganas yang meragut lima nyawa serta mencederakan lebih 100 orang, termasuk anggota polis pada 9 Oktober lepas.

Keputusan itu diluluskan oleh Kabinet atas syor kerajaan wilayah Punjab, beberapa hari selepas ribuan penyokong TLP bertempur dengan pasukan keselamatan di pinggir Lahore ketika cuba berarak ke Islamabad untuk mengadakan demonstrasi menyokong Palestin menjelang pengumuman perjanjian gencatan senjata oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi menamatkan perang di Gaza.

Pejabat Perdana Menteri Shehbaz Sharif dalam kenyataan memaklumkan kabinet telah bersetuju untuk mengharamkan TLP di bawah undang-undang antikeganasan selain terlibat dalam kegiatan pengganas dan pelampau.

Sementara itu, jurucakap kerajaan Punjab, Uzma Bukhari, berkata pejabat parti itu telah ditutup, manakala ratusan penyokong ditahan.

Akaun bank parti berkenaan turut disita, dan pertuduhan keganasan sedang difailkan terhadap ahli parti yang menyerang polis semasa protes.

Pihak berkuasa juga sedang memburu pemimpin utama TLP, Saad Rizvi, yang dilaporkan melarikan diri selepas pertempuran pada 13 Oktober.

Menurut laporan, Rizvi dipercayai bersembunyi di wilayah Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Pihak polis dilaporkan sedang menjalankan operasi besar-besaran untuk menahannya.

Kerajaan Pakistan menegaskan langkah itu perlu selepas TLP didapati melanggar perjanjian 2021 yang dicapai bersama kerajaan terdahulu pimpinan Imran Khan.

Perjanjian berkenaan telah membawa kepada penarikan semula larangan kali pertama terhadap parti itu.

Bagaimanapun, TLP menolak keputusan tersebut sebagai “tidak berperlembagaan, bermotif politik, dan bersifat diktator.” - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD