fb fb fb fb fb

Huthi lancar peluru berpandu kedua ke Israel minggu ini

Yahya Saree menerusi video yang disiarkan pada Isnin lalu mengesahkan serangan peluru berpandu balistik hipersonik jenis 'Palestine 2' berjaya mencapai matlamatnya yang menyasarkan Yaffa di Tel Aviv/AFP

JERUSALEM, 19 Disember- Siren kedengaran di seluruh tengah Israel hari ini selepas satu peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman menyasarkan wilayah haram tersebut.

Israel bagaimanapun mendakwa menghalang peluru berpandu berkenaan.

Ia merupakan kali kedua dalam minggu ini serangan peluru berpandu dari Yaman disasarkan ke arah Israel. Serangan pertama berlaku pada Isnin lalu dan dikaitkan dengan kumpulan Huthi.

Huthi yang menguasai sebahagian besar kawasan di Yaman termasuk ibu kota Sanaa menyatakan bahawa serangan tersebut disasarkan kepada "tentera Israel di kawasan diduduki" merujuk kepada Tel Aviv.

Ia sebagai sebahagian daripada solidariti Huthi terhadap Palestin dan mereka berikrar akan terus melancarkan serangan sehingga sekatan terhadap Gaza dihentikan.

Isnin lalu, Huthi mengesahkan tenteranya telah melaksanakan operasi menyasarkan Yaffa di Tel Aviv menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik jenis 'Palestine 2'.

"Operasi tersebut telah berjaya mencapai matlamatnya," kata jurucakap tentera Huthi, Yahya Saree.

Pada 9 Disember, satu lagi serangan drone oleh Huthi meletup atas sebuah bangunan kediaman di Yavne, Israel, namun tiada korban dilaporkan.

Pada Julai, serangan drone sama mengakibatkan kematian seorang Israel di Tel Aviv. -AFP

SITI AISHAH MD ISA