fb fb fb fb fb

11 maut dalam kebakaran pusat karaoke di Hanoi

Pasukan penyelamat membawa mangsa ke ambulans susulan kebakaran di pusat karaoke di Hanoi malam tadi/AFP

HANOI, 19 Disember- Satu kebakaran besar di sebuah pusat karaoke di sini dekat Vietnam meragut 11 nyawa dan mencederakan dua orang dalam kejadian yang disyaki berpunca daripada unsur khianat.

Kebakaran berlaku pada malam tadi sekitar pukul 11.00 dengan ramai mangsa terperangkap dalam bangunan tiga tingkat di kawasan barat Hanoi.

Pasukan penyelamat berjaya membawa keluar tujuh mangsa yang masih hidup dan dua daripadanya dikejarkan ke hospital, manakala 11 lagi mangsa ditemukan maut.

"Polis mengesyaki kebakaran ini dilakukan dengan sengaja dan telah menahan suspek untuk siasatan," menurut kenyataan rasmi polis hari ini.

Saksi kejadian melaporkan api merebak dengan pantas dan bangunan yang dilindungi dengan jeriji logam di balkoni menyukarkan usaha menyelamatkan diri.

Seorang saksi, Nguyen Minh Hung yang berada berhampiran lokasi kebakaran berkata, "Kami menjerit dengan harapan dapat membantu mereka yang terperangkap, namun tidak mendengar sebarang suara meminta tolong."

Kebakaran dikatakan bermula di tingkat satu sebelum merebak ke seluruh bangunan.

Rakaman litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah berdekatan menunjukkan seorang lelaki memasuki premis sebelum kebakaran tercetus.

Dia dilaporkan membeli petrol selepas bertengkar dengan kakitangan pusat karaoke tersebut dan menuangkan petrol terbabit berdekatan kawasan yang penuh dengan motosikal.

Seorang lelaki suspek juga ditangkap pada tengah malam selepas kejadian. Polis menyiasat kebakaran terbabit sebagai kejadian khianat.

Insiden itu berlaku selepas satu lagi kebakaran besar di pusat karaoke pada tahun lalu yang meragut 32 nyawa menyebabkan ribuan pusat karaoke di Vietnam ditutup kerana gagal mematuhi peraturan keselamatan kebakaran. -AFP

SITI AISHAH MD ISA