fb fb fb fb fb

Hukuman mati oleh junta Myanmar sama jenayah perang - PBB

(Aktivis demokrasi, Kyaw Min Yu (kiri) dan bekas anggota parti NLD, Phyo Zeya Thaw
dijatuhkan hukuman mati/AFP)

YANGON, 20 Jun- Hukuman mati yang dikenakan junta Myanmar terhadap ahli politik negara itu dapat disamakan dengan jenayah perang atau jenayah kemanusiaan.

Pada 3 Jun lalu, mahkamah junta menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang bekas ahli parlimen daripada parti pimpinan Aung San Suu Kyi, serta seorang aktivis demokrasi. Kedua-duanya disabitkan kesalahan keganasan. Ia merupakan pelaksanaan hukuman mati pertama negara itu sejak 1990. 

"Empat orang, termasuk bekas Ahli Parlimen Phyo Zeya Thaw dan aktivis demokrasi Ko Jimmy, "yang dijatuhkan hukuman mati akan dihukum gantung mengikut prosedur penjara", kata jurucakap junta Zaw Min Tun memberitahu AFP ketika itu.

Ketua Badan Penyiasat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Myanmar, Nicholas Koumjian berkata beliau mengikuti kes tersebut dengan teliti.

Beliau berkata, hak asasi tertuduh yang disabitkan, secara terang-terangan dicabuli bawah undang-undang antarabangsa.

Ini berikutan prosiding yang dijalankan tidak memenuhi keperluan asas perbicaraan yang adil.


(Foto hiasan)

"Mengenakan hukuman mati, atau pun tempoh tahanan, berdasarkan prosiding yang tidak memenuhi keperluan asas perbicaraan yang adil boleh membentuk satu atau lebih jenayah kemanusiaan atau jenayah perang," katanya.

Junta telah menjatuhkan hukuman mati kepada berpuluh-puluh aktivis antirampasan kuasa sebagai sebahagian daripada tindakan keras terhadap pembangkang selepas merampas kuasa tahun lalu, biarpun Myanmar tidak melaksanakan hukuman mati selama beberapa dekad.

"Untuk perbicaraan yang adil, ia mesti diadakan secara terbuka setakat yang mungkin", kata Koumjian.

“Pengecualian berdasarkan keselamatan negara atau pertimbangan lain adalah wajar.

"Tetapi dalam kes ini, nampaknya tiada prosiding awam dan penghakiman itu tersedia secara terbuka. Ini menimbulkan keraguan sama ada tribunal itu tidak berat sebelah dan bebas, tambahnya.

Mekanisme PBB untuk Myanmar telah diwujudkan oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB pada 2018.

Peranannya adalah untuk mengumpulkan bukti jenayah antarabangsa dan pencabulan hak asasi manusia serta mendokumentasikannya dengan tujuan untuk memudahkan prosiding jenayah.- AFP

Media Baharu