fb fb fb fb fb

Hujan lebat halang usaha menyelamat mangsa ribut Megi

BAYBAY, 12 April- Hujan lebat dan lumpur menghalang usaha mencari dan menyelamat mangsa banjir dan tanah runtuh di Filipina yang terjejas akibat ribut tropika Megi.

Bencana itu mengakibatkan sekurang-sekurangnya 28 orang penduduk terbunuh.

Lebih 17,000 orang meninggalkan kediaman mereka ketika ribut itu membadai wilayah Leyte yang sering terkena bencana alam itu, sehingga menenggelamkan rumah, jalan raya dan memutuskan bekalan elektrik.

Sekurang-kurangnya 22 terbunuh manakala 27 lagi hilang selepas tanah runtuh melanda beberapa perkampungan di Leyte, di tengah Filipina.

(Pasukan keselamatan sedang menyelamatkan mangsa yang terkandas banjir/ AFP)

Menurut agensi bencana kebangsaan, tiga orang terbunuh di wilayah tengah Negros Oriental dan tiga lain di pulau utama selatan Mindanao.

Usaha mencari dan menyelamat tertumpu di perkampungan berdekatan iaitu di Cantagnos, di mana pihak berkuasa memberitahu berlaku dua kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Pihak tentera menyertai pengawal pantai, polis dan anggota bomba dalam operasi menyelamat penduduk.

Sementara itu, jurucakap agensi bencana kebangsaan, Mark Timbal, berkata tanah runtuh di sekitar bandar Baybay yang melanda penempatan terletak di luar kawasan bahaya mengejutkan orang ramai. -AFP

Media Baharu