fb fb fb fb fb

Hujan lebat dijangka landa Cuba, lebih 66,000 orang dipindahkan

Foto AFP

HAVANA, 4 November- Lebih 66,000 orang telah dipindahkan di timur Cuba, Guantanamo sebagai persediaan menghadapi hujan lebat yang mengancam kawasan yang sudah terjejas teruk akibat Taufan Oscar, menurut laporan televisyen tempatan semalam.

Kebanyakan penduduk dipindahkan adalah di kawasan San Antonio del Sur dan Imias.

Presiden Cuba, Miguel Diaz-Canel berkata pihaknya akan terus memantau keadaan cuaca di Cuba.

"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya menerusi perkongsian di X.

Oscar, taufan kategori 1 telah melanda Cuba pada 20 Oktober lalu.

Menurut angka rasmi, lebih 12,000 rumah, jalan raya, dan hampir 20,000 hektar tanaman terutamanya kopi rosak akibat taufan tersebut.

Cuba kini sedang melalui krisis ekonomi terburuk sejak tahun 1990-an, ditambah pula dengan kekurangan ubat-ubatan dan bahan api, gangguan elektrik yang kerap, serta gelombang migrasi yang belum pernah terjadi sejak Revolusi Castro pada tahun 1959. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM