BEIJING, 4 November- Beberapa kilang solar terbesar milik China di Vietnam terpaksa menghentikan pengeluaran selain memberhentikan pekerja.
Ia susulan pengembangan tarif perdagangan Amerika Syarikat ke atas tiga negara Asia Tenggara yang lain namun di Indonesia dan Laos banyak kawasan solar baru milik China dibina.
Kapasiti yang dirancang negara tembok besar itu cukup untuk membekalkan kira-kira separuh panel yang dipasang di Amerika Syarikat tahun lepas.
Firma solar China berulang kali mengecilkan pengeluaran di hab sedia ada selain membina kilang baharu di negara lain.
Tindakan itu membolehkan China mengetepikan tarif dan menguasai pasaran Amerika Syarikat dan global khususnya.
Menurut Penyelidikan Pasaran SPV China menyumbang kira-kira 80 peratus daripada penghantaran solar dunia.
Angka itu berbeza dengan dua dekad lalu yang menunjukkan Amerika Syarikat adalah peneraju global dalam industri.
Import bekalan solar Amerika meningkat tiga kali ganda sejak Washington mula mengenakan tarifnya pada 2012, ia mencecah rekod $15 bilion tahun lepas, menurut data persekutuan.
Walaupun hampir tidak ada yang datang terus dari China pada 2023 namun kira-kira 80 peratus datang dari Vietnam, Thailand, Malaysia dan Kemboja. Ia merupakan lokasi pembuatan kepada kilang-kilang milik firma China.
Justeru Washington mengenakan tarif ke atas eksport solar dari empat negara Asia Tenggara itu tahun lepas dan mengembangkannya pada Oktober berikutan aduan daripada pengeluar di Amerika Syarikat.
Sepanjang 18 bulan lalu, sekurang-kurangnya empat projek negara tembok besar itu telah mula beroperasi di Indonesia dan Laos, dan dua lagi telah diumumkan.
Ia merupakan projek berjumlah 22.9 gigawatt (GW) dalam kapasiti sel solar atau panel.
Kebanyakan pengeluaran itu akan dijual di Amerika Syarikat, pasaran solar kedua terbesar di dunia selepas China.
Menurut data daripada PVinsights, harga yang ditawarkan Amerika Syarikat secara purata 40 peratus lebih tinggi berbanding harga yang ditawarkan China sejak empat tahun lalu.
Pengeluar solar Amerika Syarikat berulang kali mengemukakan aduan kepada kerajaan bahawa mereka tidak boleh bersaing dengan produk China yang dijual pada harga yang lebih murah.
Firma solar China menyifatkan, ia merupakan strategi dalam menguasai pasaran teknologi selain menjadikan negara tembok besar itu lebih berdaya saing pada harga.- REUTERS