GAZA, 19 Disember- Hospital Al-Ahli, salah satu hospital yang tinggal di utara Gaza menghentikan operasinya selepas diserang oleh tentera Israel.
Pengarahnya, Fadel Naim berkata tentera Israel bertindak menyerang hospital Al-Ahli dan menangkap doktor, kakitangan perubatan dan pesakit serta memusnahkan sebahagian kawasan bangunan itu.
Beliau berkata sekurang-kurangnya empat orang terkorban, akibat ditembak tentera Israel.
"Serangan Israel telah menghentikan operasi hospital. Kami tidak boleh menerima mana-mana pesakit atau mereka yang cedera.
"Maklumat kami, terdapat berpuluh-puluh orang yang cedera di jalan-jalan sekitar,” katanya.
Hospital Al-Ahli, juga dikenali sebagai hospital baptist atau Ahli Arab, sudah rosak teruk akibat letupan di tempat letak kereta pada 17 Oktober lalu, mengakibatkan berpuluh-puluh kematian.
Hospital dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, namun telah berulang kali dilanda serangan Israel di Gaza sejak bermulanya konfllik antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Tentera Israel sebelum ini juga telah menceroboh kemudahan perubatan lain di Gaza, termasuk hospital terbesar di wilayah itu, Al-Shifa, yang kini berfungsi pada kapasiti minimum dengan pasukan yang sangat kecil.
Ahad lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata Hospital Al-Ahli menerima pesakit kritikal daripada Al-Shifa untuk pembedahan.
Dalam pada itu, Israel menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat susulan jumlah kematian orang awam yang tinggi dan kemusnahan hospital di Gaza.
Sekurang-kurangnya 19,667 rakyat Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak akibat serangan Israel.-AFP